[VIDEO] Wanita pekak, bisu luah rasa kecewa restoran makanan segera tidak mesra OKU

0
442

PERKHIDMATAN atau kemudahan yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) sudah lama dipraktikkan tidak kira oleh restoran makanan segera mahupun di mana-mana di beberapa negara dalam usaha memberikan suasana yang inklusif kepada pelanggan OKU.

Namun, kisah sedih seorang pengguna  TikTok OKU pekak dan bisu, @aira_meor mula tular sejak semalam apabila meluahkan rasa kecewanya setelah gagal memesan makanan  menerusi sistem pandu lalu.

Menerusi video berdurasi 1 minit 52 saat itu, Aira menjelaskan dirinya sebelum ini boleh membuat pesanan melalui skrin yang terdapat di pandu lalu restoran berkenaan namun, seorang pekerja di restoran yang sama memintanya untuk masuk ke dalam restoran untuk membuat pesanan.

Menurut  Aira, biarpun sudah mempersoalkan kenapa tidak boleh mengambil pesanan di pandu lalu, dirinya tetap diminta untuk membuat pesanan di kaunter di dalam restoran.

Kecewa dengan layanan itu, Aira terus keluar daripada pandu lalu tersebut dan meninggalkan restoran berkenaan biarpun sedang menahan lapar kerana merasakan perkara itu membazirkan masanya setelah beratur panjang namun tidak dapat membuat pesanan.

Aira turut dilihat menyeka air matanya ketika meluahkan rasa kecewanya setelah tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada restoran makanan segera berkenaan kerana ia bukan kali pertama perkara ini berlaku.

Pada bahagian kapsyen video berkenaan, Aira merayu pihak ibu pejabat kepada restoran makanan segera yang cukup terkenal di serata dunia itu mendengar suara kecilnya untuk menaik taraf skrin untuk OKU.

Video yang kini sudah mencapai lebih 560 ribu tontonan dengan 82.8 ribu tanda suka di laman TikTok itu turut mendapat perhatian netizen di beberapa media sosial lain seperti Twitter dan Facebook yang rata-rata mereka bersimpati dengan nasib Aira.

Rata-rata netizen turut berang dengan layanan yang diberikan oleh pihak restoran makanan segera berkenaan lebih-lebih lagi terhadap OKU dan menekan agar kesemua pihak restoran makanan segera di negara ini menaik  taraf servis mesra OKU mereka.

“Semua orang sepatutnya mendapat layanan sama rata kerana kita semua sama, tolonglah ada simpati” kata pengguna @nelysa_norazlan

“Di Malaysia masih belum ada kesedaran untuk melayan OKU dengan sewajarnya berbanding negara barat yang lebih mesra OKU”, tulis @chentaqaish di ruangan komen.

“Setujulah, lepasni bagi siapa-siapa dan staff belajar bahasa isyarat, ingat takde orang special kat dunia ke?” saran @ciknis

Lantaran video yang tular itu, pihak restoran makanan segera berkenaan telah meminta maaf kepada wanita tersebut dan mengatakan tindakan sewajarnya telah diambil.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here