Bekas ejen pengurusan tak mengaku 23 tuduhan rasuah

0
248

Oleh RAHIMI MOHAMAD

BEKAS ejen pengurusan di sebuah pangsapuri mengaku tidak bersalah terhadap 23 pertuduhan menerima suapan melibatkan nilai keseluruhan RM9,600 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini.

Tay Choon Siew, 68, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM400 dan RM800 daripada seorang kontraktor menerusi akaun miliknya sebagai dorongan mencadangkan syarikat milik kontraktor itu melakukan kerja-kerja pembersihan dan landskap di pangsapuri tempatnya bekerja ketika itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru antara 3 Mei 2017 hingga 3 September 2019.

Bagi kesemua 23 pertuduhan, Choon Siew didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Pengawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Johor pada setiap bulan.

Peguam tertuduh, Datin Freda Sabapathy bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang juga warga emas itu tinggal sebatang kara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang setelah bercerai pada 2013 dan hilang mata pencarian setelah berhenti kerja pada 2019.

Mahkamah juga diberitahu tertuduh menghidap kanser kolon sejak 2017 dan kini terpaksa menggunakan ‘stoma bag’ yang perlu ditukar setiap hari.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai selain 29 November ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here