[VIDEO] Wajah berubah seperti orang tua ketika hamil, suami tetap puji cantik

0
1137

LEBIH berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mungkin itu lah perumpamaan yang sesuai untuk wanita ini apabila wajahnya berubah menjadi bengkak, menggerutu dan berkedut sehingga kelihatan seperti orang tua.

Setelah empat bulan melahirkan anak keduanya, wanita ini berkongsi pengalaman yang memeritkan di akaun Facebook miliknya sebagai kenangan, sehingga mendapat perhatian netizen di platform media sosial berkenaan.

Berkongsi cerita dengan SatuBerita, wanita berkenaan, Nur ‘Ain Mohd Ali, 28, berkata, pada awalnya menyangka wajahnya hanya sembab setelah bangun daripada tidur ketika kandungannya mencecah tiga bulan.

“Awalnya saya sangka sembab biasa lepas bangun daripada tidur, selepas itu mula timbul kedutan di bahagian dahi. Lama-kelamaan saya rasa muka saya agak berat dan berminyak. Mata saya pun hampir tertutup, berair dan penglihatan kabur.

“Ketika kandungan masuk lima bulan, muka saya semakin berkedut dan berminyak, kalau pakai tudung pun minyak pada muka saya boleh melekat kesan minyak,” katanya.

Bukan setakat mengalami perubahan pada wajahnya, ibu ini turut mengalami alahan ‘mabuk’ sehingga berat badan menyusut sejak kandungan berusia dua bulan dan mengalami pendarahan yang teruk.

Nur ‘Ain mengakui terasa segan untuk keluar rumah ketika keadaan wajahnya berubah kerana sering diperhati oleh ramai yang pelik apabila terpandang wajahnya.

“Saya rasa segan, malu. Bila orang selisih dengan saya, orang tengok saya dua kali. Kawan-kawan pun ramai yang tegur muka nampak lain.

“Pernah ketika saya mahu beli air di Bazaar Ramadhan, ada akak tanya saya ‘kenapa muka Ain jadi macamtu? Accident ke?’. Waktu itu, semua orang yang ada kat gerai tu tengok saya, masatu saya rasa ya Allah malunya,” katanya.

Bagaimanapun, ibu dua orang anak ini beruntung apabila suaminya, Zaki Izani Ramli, 37, tidak putus-putus memberikan kata semangat kepada Nur ‘Ain ketika isterinya kemurungan apabila mengalami perubahan pada wajah ketika hamil.

“Walaupun keadaan isteri pada masa itu kemurungan dan selalu menangis seorang diri, sebagai suami, saya tetap beri sokongan kepada dia. Saya tetap cakap dia cantik dan nasihat untuk hiraukan apa yang orang cakap kerana mereka tak hadap, hanya kita sahaja yang tahu.

“Bila saya tahu ada orang mengata isteri saya, geram tu ada juga, nak kata balik pun ada juga. Tapi, bila saya fikir balik, mereka hanya boleh cakap sahaja, mereka tak lalui apa yang isteri saya lalui,” ujar Zaki.

Jelasnya lagi, mereka turut berikhtiar mengunjungi pakar kulit, dan dimaklumkan kelenjar minyak pada wajah Nur ‘Ain terlampau aktif sehingga menyebabkan wajahnya bengkak, berkedut dan berminyak.

Namun, pada ketika itu katanya, pakar bimbang akan ubat-ubatan yang diberikan mungkin akan menjejaskan kandungan.

Bagaimanapun, wajah ibu yang berasal dari Kulai, Johor ini beransur pulih kepada keadaannya yang asal setelah melahirkan anak keduanya pada Jun lalu.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here