Selepas 17 tahun, Bittersweet umum pembubaran

0
693

Bukan setahun dua bersama tetapi apakan daya, takdir juga penentu segalanya. Siapa sangka kumpulan yang mampu berdiri selama 17 tahun akhirnya mengumumkan pembubaran dan tiada lagi Bittersweet selepas ini.

Bagi yang mengikuti kerjaya seni kumpulan ‘berhaluan kiri’ ini pasti sudah mengenali siapakah mereka yang sebenar. Lagu-lagu seperti Kucing Hitam, Capital E dan Biarlah Mentari mengisi jiwa sebahagian besar peminat sejak zaman remaja.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Herri Hamid yang juga pengasas kepada kumpulan yang menggunakan akronim BTSWT ini melalui Facebook peribadi miliknya beberapa hari lalu.

“17 tahun bukanlah sekejap untuk dihitung. Jika diukur waktu, ia sudah cukup matang untuk seorang insan. Tapi apakan daya, kita hanya mampu merancang, hanya Dia menentukan.

“Hari ini, pada hari kelahiran saya yang ke-39, sebagai pengasas BTSWT mengambil keputusan untuk berhenti berjuang sebagai sebuah kumpulan,” katanya.

Katanya, sudah tiba waktu untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup sendiri tanpa terikat lagi dengan kumpulan tersebut.

Sudah pasti apa yang dilalui selama ini mendewasakan mereka meskipun terpaksa melalui pelbagai kepahitan semasa berjuang sebagai sebuah kumpulan.

“Terima kasih kepada anda semua. Tiada apa kata yang mampu saya ucapkan kepada semua. Saya mohon maaf atas semua kesalahan diri,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu kebanyakkan peminat kumpulan ini meluahkan rasa sedih dengan pembubaran kumpulan yang diasaskan di Ipoh, Perak ini.

Ada yang kembali mengenangkan zaman kegemilangan BTSWT termasuklah menonton persembahan mereka di gig-gig kecil yang dianjurkan sekitar tahun ketika zaman kegemilangan mereka.

“Sempat melihat BTSWT jam dahulu di Ipoh. You are the best indie band,” kata peminat yang dikenali dengan nama Mohd Zultalaat.

“Capital E, Big Black dan Kucing Hiyam adalah lagu wajib aku dan kawan-kawan setiap kali jamming zaman bujang. Setiap kali BTSWT perform di Lembah Kelang, kami akan turun bagi sokongan. Terima kasih bagi kenangan. Korang hebat!” kata Mohd Basha Mohd Sani pula.

17 tahun berdiri sebagai sebuah kumpulan, keluar masuk ahli bukan satu hal yang asing. Selain Herri dan Fizan (vokalis), BTSWT pernah dianggotai oleh Zabil, Pijie, Hafiez, Dinie, Moon, Enal dan Irfan Iskandar.

Mereka memperjuangkan muzik indie rock dan britpop yang menjadi asas utama dan antara album yang pernah dihasilkan termasuklah A Perfect Match, Empire’s Transition dan BTSWT.

Sepanjang penglibatan, mereka lebih banyak merakamkan lagu berbahasa Inggeris dan lagu Kucing Hitam pula pernah dijadikan runut bunyi untuk drama Kami The Series selain lagu Next Aidilfitri yang popular semasa lebaran. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here