[VIDEO] Boleh berjaya walaupun kerja sendiri

TIADA apa yang mustahil di dunia ini, apa yang diperlukan ialah semangat, azam serta usaha yang gigih demi mencapai kejayaan.

Itulah ungkapan yang sesuai untuk Muhammad Naim Sa’ari, 32, yang menternak udang putih menggunakan kaedah biofloc dan mampu mendapat pulangan lumayan dengan pendapatan mencecah lima angka sebulan.

“Saya pun masih baru dalam bidang ini, bermula pada jun 2021 dengan kuantiti sebanyak 50 ribu ekor udang putih,

“Tapi pada masa itu semuanya masih dalam proses try and error,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Naim juga menyatakan bahawa beliau bermula dengan 5 tangki udang tetapi sekarang beliau sudah mempunyai 20 tangki dengan anggaran lebih kurang 150 ribu ekor udang putih.

Menurut Naim, beliau mendapat info serta ilmu berkaitan dengan kaedah biofloc di youtube dan google serta beliau turut menyertai kursus khas berkenaan dengan biofloc yang dianjurkan oleh Ras Aqua Culture.

Naim juga berkata bahawa perbelanjaan berkenaan dengan bidang ternakan udang putih ini dikeluarkan oleh dirinya sendiri untuk pembelian anak benih dan juga makanan.

“Kos agak tinggi pada mulanya, anggaran semasa permulaan ‘try and error’ adalah sebanyak 5 ke 6 ribu termasuk anak benih dan juga makanannya.” katanya.

Naim berkata, sistem biofloc ini adalah untuk menambah baik ekosistem air sekali gus mempercepatkan kadar tumbesaran udang yang diternak selain meningkatkan kualitinya.

“Jadi rintangan saya dalam menghasilkan proses ini adalah dari segi kualiti air dan kadar oksigen dalam air,

“Saya harus berjaga-jaga dan sekiranya terjadinya ‘blackout’, ianya akan memberikan kesan yang besar kepada sistem biofloc ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga turut berdepan dengan cabaran dengan pelanggan kerana permintaan yang tinggi tetapi kadar pengeluaran yang rendah.

Oleh itu, beliau merancang untuk meningkatkan kadar pengeluaran dalam 5 tahun akan datang dan dalam pada masa yang sama ingin membantu golongan belia yang ingin berkecimpung dalam bidang ini. – SB