Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Lelaki didakwa kes rogol, rompak wanita Myanmar -

[VIDEO] Lelaki didakwa kes rogol, rompak wanita Myanmar

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, atas empat pertuduhan termasuk melakukan persetubuhan luar tabii, merogol dan merompak seorang wanita warga Myanmar minggu lalu.

Tertuduh, Zul Mazuwan Zul Hilman @ Suresh Kumar, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama iaitu persetubuhan luar tabii, Zul Mazuwan didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak wang wanita terbabit sebanyak RM200 dengan bersenjatakan pisau di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan tuduhan ketiga iaitu merogol wanita itu dengan meletakkan pisau di leher mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Tingkat Kikik 2, Taman Inderawasih di Prai pada 12 Oktober lalu kira-kira jam 4 pagi.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat dia didakwa telah merompak seorang wanita tempatan berjumlah RM200 di Medan Kikik 1, Taman Inderawasih di Prai, kira-kira jam 5.15 pagi pada 9 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Nur Fazliyana Ahmad yang mengendalikan pertuduhan itu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh melalui peguam Yogesh memohon diberikan jaminan rendah kerana anak guamnya tidak melarikan diri semasa ditangkap di rumahnya dan memberi kerjasama yang baik sebelum ini.

Noor Aini kemudian menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu atau mendekati mangsa atau semua saksi pendakwaan sehingga kes berkenaan selesai dan menetapkan 29 November untuk sebutan semula kes. – SB