[VIDEO] Dunia perlu kerjasama tangani impak pandemik Covid-19 – Muhyiddin

0
273

KERJASAMA rapat antara kerajaan di seluruh dunia diperlukan bagi menangani kesan Covid-19 terutamanya dari segi peningkatan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan bersama perlu dilaksanakan dalam usaha pemulihanyang dilaksanakan oleh setiap negara terutamanya dalam aspek ekonomi dan kesihatan serantau.

Menurut beliau, rakyat setiap negara sudah menunjukkan solidariti mereka bersama kerajaan sepanjang tempoh krisis dan kini tiba masanya kerajaan memastikan tiada siapa ketinggalan dalam usaha pemulihan.

“Jangan ada pihak mengambil kesempatan dalam keadaan ekonomi negara tertentu yang rapuh ketika ini bagi meraih keuntungan akibat kesengsaraan dialami rakan negara lain.

“Kita seharusnya bangun bersama, mengukuhkan antara satu sama lain dan memastikan usaha pemulihan mampu memberi faedah kepada semua negara melalui kerjasama antarabangsa dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam sesi webinar sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa secara atas talian, hari ini.

Program terbabit dianjurkan Insititut Masa Depan Malaysia (MASA) bersama Institut Pengurusan dan Penyelidikan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Bekas Perdana Menteri itu menambah, bagi kebanyakan negara, kesan ekonomi akibat ketidaktentuan akibat krisis kesihatan adalah tidak dapat dibayangkan, malah banyak negara dijangka mengalami impak sosioekonomi dalam tempoh yang panjang.

“Langkah yang diambil setiap kerajaan dalam menangani pandemik ini menyebabkan jutaan keluarga yang bergelut terutamanya di negara miskin dan membangun terus jatuh di bawah garis kemiskinan.

“Keadaan ini menyebabkan kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia terus berhadapan kesukaran bagi mencapai sasaran Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu menamatkan kemiskinan di semua tempat,” jelasnya.

Muhyiddin memberitahu, usaha membasmi kemiskinan terus kekal menjadi cabaran setiap negara berikutan, masih banyak penduduk dunia berhadapan masalah mendapat keperluan hidup akibat kesan COVID-19 serta cabaran ekonomi ketika ini.

“Banyak negara masih berusaha menyelesaikan masalah kemiskinan yang ekstrem termasuk kekurangan makanan, air minuman bersih dan isu sanitasi terutamanya mereka yang hidup dalam keadaan getir.

“Keadaan ini mengakibatkan program pembasmian kemiskinan menjadi lebih sukar, tetapi tetap harus dilakukan segera dalam memulihkah komuniti yang terkesan akibat krisis kesihatan, konflik, cabaran ekonomi dan bencana alam sekitar,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here