[VIDEO] Netizen simpati, anggap ibu tunggal 9 anak dihukum gantung terdesak edar dadah

0
872

KES seorang ibu tunggal yang dihukum mati mandatori pada Jumaat oleh Mahkamah Tinggi Tawau, Sabah mendapat perhatian warga maya kerana bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya serta sembilan anaknya.

Tertuduh yang menyara sembilan orang anak, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah jenis syabu seberat 113.9 gram tiga tahun lalu.

Susulan itu, rakaman video yang memaparkan dirinya meraung ketika keluar dari mahkamah setelah hukuman tersebut dijatuhkan ke atasnya tular di platform media sosial sejak dua hari lalu.

Menerusi video berdurasi satu minit yang dimuat naik oleh @seehuadaily di laman TikTok itu, dapat dilihat tertuduh yang memakai tudung putih keluar dari mahkamah berjalan longlai, meraung mengenangkan nasib sembilan orang anaknya sambil ditenangkan oleh anggota polis yang mengiringinya selepas dijatuhkan hukuman berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen sedih dan bersimpati apabila menganggap ibu tunggal berkenaan tiada pilihan lain menghadapi kesempitan hidup untuk menyara anak-anaknya yang ramai.

“Ada kalanya kita tersepit dengan keadaan, bila perut anak-anak berbunyi dah tak fikir,” tulis pengguna @AnnHatini.

“Mungkin dia diperdaya. Mungkin juga dia perlukan duit kerana kemiskinan. Kesian dia,” luah @envylicious.

“Mesti desakan hidup yang buat ibu ni pilih jalan macam tu…bukan senang nak besarkan 9 orang anak seorang diri… semoga ibu ini diberi pengampunan,” ujar pengguna, @husnul 1401.

Bagaimanapun, ramai juga yang menyifatkan kes ibu tunggal ini perlu dijadikan iktibar kepada orang ramai.

Menerusi laporan Astro Awani, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Alwi Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairun Jalmani, 55, selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Difahamkan tertuduh yang juga seorang penjual ikan didakwa atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah jenis syabu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15,Jalan Apas, Tawau pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2018.

Tertuduh di dakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here