Program Felo Perdana mantapkan kebolehan belia

0
31

PROGRAM Felo Perdana memberi manfaat kepada golongan belia yang menyertainya dalam memantapkan kebolehan komunikasi, pentadbiran dan keyakinan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata program itu memberi pendedahan kepada anak muda mengenai pentadbiran kerajaan selain mengikuti tanggungjawab seorang menteri serta ahli politik.

“Program Felo Perdana ini memberi pengalaman menarik dan membantu kerajaan lebih memahami kehendak serta pemikiran anak muda,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Felo Perdana Tahun 2021 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, hari ini.

Seramai 66 orang terpilih menyertai program Felo Perdana tahun ini yang akan ditempatkan bersama 32 Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bermula hari ini hingga 31 Disember ini.

Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2013 dan telah mengumpulkan penyertaan lebih 600 anak muda.

Ia merupakan inisiatif kerajaan bagi melatih belia yang berpotensi dengan kemahiran aras tinggi disamping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

Ahmad Faizal berkata KBS akan sentiasa berhubung dengan felo yang ditempatkan di kementerian untuk mengikuti perkembangan mereka.

Sementara itu, Gan Wen Shen, 30, yang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata beliau teruja apabila dimaklumkan akan ditempatkan di PMO pagi tadi.

“Sepanjang tiga bulan ini, saya harap dapat libatkan diri dalam proses penggubalan dasar kerajaan,” katanya.

R.Pavidra, 24, pula berkata beliau amat bertuah mendapat peluang ditempatkan di PMO.

“Aspirasi saya adalah untuk lebih mengenali tentang Parlimen dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula dari awal sehingga disampaikan kepada rakyat,” katanya yang menjadikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai idola dalam bidang politik.

Nathasha Diyana Zulkifly, 23, yang ditempatkan di KBS pula berharap dapat mengenali dasar-dasar belia selain dapat menyumbang sebanyak mungkin dalam pelaksanaan Hari Belia Negara akan datang. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here