Polis rampas rokok dan minuman keras seludup lebih RM1 juta

0
403

POLIS menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM1,157,123.05 menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan antara 26 September dan 6 Oktober di Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, empat individu termasuk seorang majikan serta tiga pekerja kedai serbaneka berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun turut ditahan.

Mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di Jalan Canna, Jalan Tan Sri Datuk Amar Sik Kheng Hong dan Jalan Chan Bee Kiew, Kuching.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini menjadikan kedai serbaneka sebagai tempat penyimpanan serta penjualan barangan tidak bercukai bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang warga emas berusia 61 tahun dan rakan sejenayahnya berumur 35 tahun ditahan untuk siasatan berhubung satu kes samun sebuah kedai emas di Kenyalang Park pada 7 Oktober lepas.

Polis turut merampas beberapa barangan seperti wang tunai berjumlah RM7,742, sebilah pisau, kenderaan jenis Perodua Viva dan tiga unit telefon bimbit. 

Kedua-duanya mempunyai kes jenayah lampau dan seorang daripada mereka didapati  positif dadah jenis methamphetamine.

Polis juga sedang mengesan seorang lagi individu berusia 46 tahun yang disyaki terlibat bersama kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here