Piala Uber: Malaysia tunduk 1-4 kepada Denmark

0
560

KUAD badminton negara terdiri daripada barisan pemain muda terpaksa akur selepas tewas 4-1 kepada tuan rumah Denmark, meskipun memberikan cabaran sengit pada aksi kumpulan D, Kejohanan Badminton Piala Uber di Ceres Arena, Aarhus pada, Sabtu.

Pemain perseorangan utama negara, S Kisona bermula garang untuk mendahului pemain di ranking ke-12 dunia Mia Blichfeldt 7-2, namun situasi itu tidak bertahan lama apabila pemain Denmark berusia 24 tahun itu bangkit menyamakan kedudukan 8-8 sebelum menang set pertama 21-11.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri digunakan sebaik mungkin oleh Blichfeldt untuk menyumbang mata pertama menewaskan Kisona yang menduduki ranking ke-53 dunia dengan 21-7 sekali gus menceriakan 2,000 penonton tuan rumah.

Gandingan Lee Meng Yean-M Thinaah yang tewas 21-19 kepada gandingan di ranking ke-16 Fruergaard-Sara Thygesen, bangkit memenangi set kedua 21-10 untuk mengheret kepada perlawanan penentuan.

Bagaimanapun, juara Eropah sebanyak tiga kali itu menidakkan hasrat skuad negara untuk menyamakan kedudukan apabila menewaskan Meng Yean-Thinaah 21-13 untuk mata kedua selepas 70 minit bertarung.

Meng Yean yang memimpin pasukan serta pemain paling senior itu digandingkan selepas gandingan asal Thinaah, Pearly Tan mengalami kecederaan di bahu.

Pemenang pingat perak kejohanan Remaja Asia 2017 Eoon Qi Xuan yang menduduki ranking ke-123 kembali meletakkan harapan buat skuad negara apabila mengejutkan Line Christophersen yang menduduki ranking ke-23, dengan 18-21, 21-18, 21-15 untuk merapatkan jurang.

Bagaimanapun, tuan rumah mengesahkan kemenangan selepas beregu di kedudukan ke-25 dunia Amalie Magelund-Freja Ravn menewaskan Teoh Mei Xing-Yap Ling 21-13, 21-19 selepas perlawanan sengit pada set kedua yang memberikan kedudukan selesa 3-1 kepada tuan rumah.

Pada perlawanan terakhir, pemain negara K Letshanaa, 18, mempamerkan semangat juang tinggi berdepan pemain di ranking ke-35, Line Kjaersfeldt sebelum tewas 21-18, 21-14.

Dalam satu lagi saingan kumpulan D, juara 14 kali China, menang mudah ke atas Kanada 5-0.

Skuad Piala Uber negara akan berdepan China pada Ahad, 1.30 tengah hari waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) dan melengkapkan perlawanan kumpulan D menentang Kanada pada Isnin 7 malam waktu tempatan (1 pagi Selasa waktu Malaysia). — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here