[VIDEO] Tasik Temenggor mulai dibuka hari ini kepada pengunjung

0
357

AKTIVITI pelancongan Tasik Temenggor kini dibuka kepada pengunjung bermula hari ini selepas ditutup hampir 19 bulan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak) dalam kenyataan berkata pembukaan itu memberikan sinar baharu kepada pengusaha rumah bot di kawasan berkenaan, dengan kehadiran ramai pelancong nanti. 

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kelonggaran bagi aktiviti pelancongan itu tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh pengusaha rumah bot selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Antara yang perlu dipatuhi ialah mana-mana pengusaha perkhidmatan rumah bot yang ingin beroperasi, perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Jabatan Perikanan,” menurut kenyataan tersebut.

Katanya, pengusaha juga perlu memastikan proses nyah kuman dan pembersihan premis dilaksanakan tiga kali sehari dalam tempoh operasi terutamanya di kawasan umum seperti surau, tandas, stor dan kaunter selain pelaksanaan norma baharu termasuk penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka sepanjang aktiviti dilaksanakan.

Selain itu, Tourism Perak juga berkata aktiviti bermalam di dalam rumah bot dibenarkan, dengan syarat rumah bot itu berada di dalam kawasan Taman Negeri DiRaja Belum, dan tempoh dibenarkan bermalam hanya tiga hari dua malam sahaja.

“Bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kapasiti asal penumpang rumah bot dan hanya pelanggan berumur 18 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti itu,” katanya.

Sementara itu, bagi pengunjung yang ingin memasuki Taman Negeri DiRaja Belum, pengusaha dan pengunjung perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak, namun setakat ini hanya pengunjung dari dalam negeri Perak sahaja dibenarkan.

Pengusaha dan pelancong yang telah lengkap menjalani vaksinasi juga perlu menunjukkan sijil sah vaksinasi Covid-19 bersama borang permohonan permit.

“Kapasiti penumpang bot adalah 50 peratus daripada kapasiti sebenar manakala aktiviti ke perkampungan Orang Asli adalah tidak dibenarkan,” menurut kenyataan Tourism Perak Management Berhad. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here