EXCO Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Arifin menyifatkan kelakuan Ahli Parlimen DAP di negeri itu termasuk pemimpin mereka Lim Guan Eng sebagai pembuli.
Kenyataan Norlela itu susulan tindakan Guan Eng dan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan ADUN Pulau Tikus, Chris Lee menyiarkan kenyataan awam termasuk merendah-rendahkan peranan dan sumbangannya dalam mengurus pandemik Covid-19 di negeri itu.
Sebaliknya mereka mendakwa kejayaan menurunkan kes Covid-19 kerana pelantikan Boon Poh sebagai ketua Pasukan Tindakan Kecemasan Pulau Pinang dan Steven Sim sebagai penyelaras Covid-19 Pulau Pinang-Putrajaya.
“(Mereka mendakwa) bahawa saya, sebagai exco yang menjaga kesihatan, perlu belajar daripada (Phee dan Sim).
“Beritahu saya apa yang telah mereka lakukan untuk menurunkan kes-kes itu sejak lantikan mereka? Apa keajaiban yang mereka lakukan? Tunjukkan bukti. Saya mahu melihatnya,” kata Norlela seperti dilaporkan Malaysiakini.
Menurut Norlela tindakan mereka sangat menjengkelkan.
“Nak muntah dengan pembuli ini yang suka menyalahkan wanita,” katanya.
Sehubungan itu beliau sangat menghargai solidariti rakan-rakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengeluarkan kenyataan menyokong peranannya dalam tindakan Covid-19 di negeri itu.
Pada 8 September lalu, Guan Eng dilaporkan menyifatkan Norlela sebagai “naif” kerana “menuruti kehendak kerajaan secara membuta tuli” terhadap respons Covid-19 negeri itu.
Pada 12 September pula, Guan Eng dilaporkan menyifatkan Norlela seperti ‘pemerhati yang tidak berdaya’ kerana penduduk Pulau Pinang menghadapi masalah mendapatkan rawatan Covid-19.
Pada 3 Oktober, Guan Eng dikatakan memuji Sim kerana menurunkan jumlah kes Covid-19 di Pulau Pinang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.