Mekanik rompak kedai emas Wangsa Maju didakwa

0
344

SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah kedai emas membabitkan kerugian RM600,000 Mei lepas.

Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Lelaki itu didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah kapak, tukul dan parang ke atas pemilik sebuah kedai emas dengan kerugian berjumlah RM600,000 di premis kedai emas di Wangsa Maju, pada 4.43 petang, 16 Mei lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here