Dua rentung Myvi terbakar

0
296

SEORANG remaja wanita dan seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran lampu isyarat Tesco Mergong, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah awal pagi tadi.

Siasatan awal mendapati, penumpang kereta itu adalah wanita dikenali sebagai Tan Sun Wen, 19, manakala pemandunya dipercayai lelaki namun belum dikenal pasti identitinya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.11 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Ahmad Nozlan Zakaria dikejarkan ke lokasi dan mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya serta polis.

Katanya, api berjaya dipadamkan pada jam 3.25 pagi.

“Komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa dalam kereta terbabit dan mangsa yang berada di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan pada jam 4.59 pagi.

“Seorang lagi mangsa yang berada di tempat duduk penumpang berjaya dikeluarkan pada jam 4.55 pagi dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia selepas disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir ke lokasi,” katanya.

Sayani berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.22 pagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here