Didenda ketuk ketampi 150 kali, pelajar 14 tahun kini cacat kekal

0
994

APABILA pelajar tertangkap ketika melakukan kesalahan, mereka pasti sudah membayangkan pelbagai denda oleh guru yang perlu mereka hadapi seperti ketuk ketampi, rotan malah lebih teruk, ditampar dan dipukul.

Kadangkala, guru yang dikawal dengan emosi marah, terlupa bahawa mendenda adalah untuk mendidik, jangan sampai menyebabkan pelajar cedera atau sehingga menyebabkan cacat kekal.

Sememangnya jarang berlaku, namun seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun kini cacat kekal setelah didenda untuk melakukan ketuk ketampi sebanyak 150 kali dalam satu kejadian di barat daya wilayah Sichuan, China.

Gadis berkenaan diarahkan untuk melakukan denda itu setelah tertangkap menyelinap makanan ringan ke asrama di Sekolah Menengah Vokasional Xianshi.

Ibu kepada gadis berkenaan, Zhou, mengatakan bahawa kejadian itu berlaku sekitar jam 10 malam pada 10 Jun lalu apabila seorang ketua pelajar, Mu, menjumpai makanan ringan di atas katil gadis malang itu dan mengarahkannya untuk melakukan ketuk ketampi sebanyak 300 kali.

Bagaimanapun, gadis berkenaan menafikan bahawa makanan ringan tersebut miliknya dan memaklumkan kepada Mu bahawa dia telah mengalami kecederaan kaki pada April 2020.

Namun, Mu dipercayai terus memaksa untuk melalukan ketuk ketampi di bawah pengawasan oleh seorang guru, Liu, yang didakwa tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan penderaan berkenaan.

Selepas kejadian berkenaan, gadis itu memerlukan pembedahan serius pada bahagian kakinya di beberapa buah hospital di bandar Luzhou dan Chengdu sebelum diberitahu oleh doktor bahawa kakinya tidak dapat diselamatkan dan kini perlu berjalan dengan menggunakan tongkat.

Dalam pada itu, dia turut didiagnos mengalami kemurungan setelah kejadian itu.

Sekolah berkenaan dilaporkan telah menawarkan pampasan sebanyak 12,530 Euro (RM 60,520) namun, ibu bapa pelajar tersebut setakat ini menolak tawaran berkenaan.

Guru yang terlibat di dalam kejadian tersebut dilaporkan dipecat pada 14 Julai lalu dan pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa mereka sedang menyiasat perkara tersebut.—SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here