UMNO belum buat keputusan kerjasama dengan PN di Melaka

0
508

UMNO tidak boleh bergantung kepada sokongan luar termasuk parti lain untuk kembali berkuasa di Melaka, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada bila-bila masa berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.

Berikutan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan, parti itu mesti membina kekuatan sendiri untuk berjuang, namun belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai PRN.

UMNO juga belum memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan mana-mana parti atau bertanding bersendirian pada PRN Melaka.

Katanya, berkata buat masa ini, apa yang lebih penting bagi parti itu ialah melakukan persiapan untuk berdepan sebarang kemungkinan pada pilihan raya berkenaan.

“Jangan kita harapkan bantuan luar untuk kita menang. Mesti bina kekuatan dalaman sendiri,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Umno Melaka di Alor Gajah malam tadi, menurut laporan Bernama.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ditanya mengenai kesediaan Perikatan Nasional (PN) Melaka untuk berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, Mohamad berkata ia terpulang kepada UMNO Melaka.

“Itu terpulang kepada Umno Melaka dan (UMNO) Melaka akan cadang kepada Pusat sebab (UMNO) Melaka tak boleh buat keputusan sendiri. Mesti dapat kelulusan, mesti dapat sanction (kebenaran) daripada Pusat. Kalau (Umno) Pusat kata ‘okay’ maka bolehlah (untuk bekerjasama dengan PN Melaka),” katanya.

Menurutnya, jentera parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) telah diarah untuk mengadakan gerak kerja mulai hari ini bagi berdepan pilihan raya itu.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata keahlian ADUN Sungai Udang Idris Haron dan ADUN Pantai Kundur Noor Azman Hassan terlucut dengan sendirinya selepas berada sepentas bersama pembangkang.

Katanya, perkara itu termaktub dalam pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Manakala Ahmad pula berkata, surat pemakluman mengenai pengguguran keahlian akan diserahkan kepada Idris dan Noor Azman dalam masa terdekat.

Ab Rauf yang juga Speaker DUN Melaka mengumumkan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubar DUN Melaka pada 4 Oktober – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here