PRN Melaka: dilaksanakan dengan SOP ketat, pengendalian berbeza

0
563

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya diadakan, perlu dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan melalui proses pengendalian pilihan raya berbeza daripada kebiasaan bagi mengelakkan penularan COVID-19, demikian pandangan pakar kesihatan awam.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata satu pelan pengurusan risiko pilihan raya juga perlu diwujudkan bagi memastikan jangkitan dapat dielakkan.

“Mungkin kita tidak boleh jadikan PRN Sabah pada September tahun lepas sebagai kayu ukur kerana pada masa itu belum ada vaksin. Bagi mengadakan PRN Melaka, kebimbangan dan risiko tetap ada,”  katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dr Zainal Ariffin berkata sebelum ini, pihaknya telah berbincang dan menyerahkan cadangan SOP kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan pilihan raya di negara ini, khususnya bagi menghadapi PRN Sarawak yang mandat kerajaan negeri tamat pada Jun lepas.

Katanya antara SOP yang digariskan ialah mengurangkan kempen secara bersemuka sebaliknya banyak menggunakan platform media sosial, memendekkan tempoh berkempen dan mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai.

Selain itu, aktiviti merentas negeri untuk berkempen juga perlu dikawal dengan hanya membenarkan individu yang lengkap vaksin untuk berkempen dan mengundi.

Dr Zainal Ariffin berkata PRN Melaka juga boleh dijadikan ‘makmal ujian’ untuk melihat keberkesanan vaksinasi negara dan bagaimana masyarakat negara ini perlu menjalani hidup dengan pandemik COVID-19.

Walaupun negara berada pada tahap vaksinasi COVID-19 populasi dewasa hampir mencapai 90 peratus, risiko jangkitan tetap wujud. Ketika ini, kadar vaksinasi populasi dewasa di Melaka sudah mencapai 88.5 peratus dan negeri tersebut sudah berada pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman pula berpandangan bahawa negara masih berada dalam situasi genting yang memerlukan komitmen semua pihak membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19.

“Pembubaran dewan undangan negeri di saat rakyat melalui situasi genting ke arah pemulihan dari wabak adalah tindakan yang tidak sepatutnya menjadi pilihan dengan mempertimbangkan secara adil terhadap rakyat yang masih dalam kesusahan,” katanya.

Katanya meskipun vaksinasi bakal mencapai liputan yang diharapkan, namun seperti yang sedang berlaku di Sarawak kes masih tinggi walaupun vaksinasi dalam kalangan rakyat juga tinggi.

“Kita berdepan kemungkinan risiko berulang jangkitan akibat pilihan raya seperti yang berlaku di Sabah. Ia (pilihan raya) sepatutnya dapat ditangguh dan dielakkan,” katanya.

Semalam, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 dan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here