[VIDEO] Terlebih muatan, ‘houseboat’ hampir tenggelam

Pemilik tanggung kerugian sehingga RM 30,000

0
605

TEMPAT peranginan seperti tasik-tasik yang menjadi tarikan orang ramai banyak menyediakan perkhidmatan rumah terapung atau ‘houseboat’ untuk kemudahan pengunjung.

Dalam satu kejadian di Tasik Kenyir yang tular di TikTok sejak semalam, pemilik salah satu rumah terapung terpaksa menanggung kerugian apabila ia dinaiki air.

Video itu yang dikongsikan pengguna aplikasi berkenaan, setakat ini telah mencapai satu juta jumlah tontonan dengan lebih 23 ribu tanda suka.

Pemilik rumah terapung itu, Mamat Noruddin Jusoh, 75 berkata, perkara itu berlaku kerana muatan yang dibawa pengunjung melebihi had.

“Sekumpulan 50 pelancong menyewa kedua-dua bot kami. Mereka letak barang-barang, termasuk bahan masakan dan makanan dalam Bot Satu lebih kurang dua tan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Beliau berkata, sepatutnya lebih ramai pengunjung menaiki Bot Dua kerana ia masih ringan dan tidak membawa barangan, tetapi ahli kumpulan berkenaan memilih naik bot satu.

“Bot yang satu lagi tak ramai, dalam 15 orang sahaja. Apabila ‘boatman’ kami larang, mereka buat tak endah.

“Bot Satu dah nak dekat dua tan, tapi mereka duduk dalam 30 lebih orang. Kami dah bagitau untuk bahagikan barang-barang mereka dengan Bot Dua sebab berat, tapi mereka kata tak apa. Kalau kita nak marah-marah pun takut mereka terasa hati pula,” tambahnya.

Mamat berkata, rumah terapung berkenaan baru bergerak kira-kira 15 minit sahaja sebelum air mula masuk.

Beliau kemudian mengarahkan Bot Dua menarik Bot Satu ke daratan salah satu pulau.

Katanya, kebanyakan perlatan dan perabot yang terdapat di dalam rumah terapung tersebut termasuk katil, sofa, peti sejuk, enjin bot serta penjana elektrik mengalami kerosakkan dalam kejadian tersebut.

“Anggaran kerugian kalau kira upah untuk angkat rumah terapung tu sahaja pun kita kira dalam RM20,000 ke RM30,000. Sampai sekarang pun kapal tu tenggelam lagi, dah empat lima hari dah tapi tak boleh nak angkat walaupun pakai ‘crane’ sebab dia berat sangat dengan air,” ujarnya.

Tambahnya, rumah terapung yang hampir tenggelam berkenaan sudah dimiliki selama 10 tahun namun, dirinya redha dengan kejadian tersebut.

“Buat masa sekarang yang hidup satu bot sahajalah, Tapi kami juga terpaksa pinjam bot orang lain kerana ramai pelancong yang tempah. Kalau tak boleh, kami terpaksa bagitahu kepada mereka yang tempah untuk tukar tarikh,” katanya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here