[VIDEO] Mobile Ehsan JPN realisasikan impian Aqil dapatkan Kad Pengenalan

Program turun padang JPN membantu orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit mental dan individu mengalami masalah kesihatan serius mendapatkan Kad Pengenalan.

0
944

SAAT memiliki kad pengenalan (KP) sendiri pasti ditunggu oleh semua kanak-kanak kerana ia seolah-olah menandakan peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam remaja dan dewasa. 

Peristiwa memohon dan datang ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga pasti akan dikenang sebagai antara momen indah dalam kehidupan.

Namun berbeza dengan adik Muhammad Aqil Faris, 12, seorang anak-anak istimewa yang sejak dilahirkan disahkan menghidap cerebral palsy. 

KELENGKAPAN peralatan mudah alih untuk mendaftar permohonan membuat Kad Pengenalan.

Dia mungkin tidak mampu ke JPN meraikan saat indah itu seperti kanak-kanak lain, namun berdasarkan peraturan, Aqil tetap perlu memiliki KP sendiri sama seperti kanak-kanak lain.

Menurut ayahnya, Mohd Najib Othman, beliau pernah mencuba membawa Aqil ke pejabat JPN pada Februari lalu, namun kerana serangan sawan rancangan itu ditangguh. 

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus menyebabkan rancangan tertangguh sehingga beberapa minggu lepas ketika mendaftar Sijil Kelahiran anak terbaharu, beliau dimaklumkan oleh pegawai JPN tentang perkhidmatan Mobile Ehsan JPN, lalu mengisi borang.

Pada Ahad lalu, Aqil yang terbaring di rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang pasti gembira apabila tiga pegawai JPN lengkap dengan peralatan daripada mengambil gambar sehingga kepada pemprosesan data, datang ke rumahnya bagi menyempurnakan impian kanak-kanak berusia 12 tahun.

“Proses pengambilan gambar juga sangat mudah kerana anak saya hanya berbaring atas tilam dan selebihnya diuruskan oleh pihak JPN,

”Saya hanya perlu betulkan posisi badan anak supaya gambar nampak elok,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

PETUGAS Mobile Ehsan JPN menjalankan proses menghasilkan Kad Pengenalan di rumah pesakit.

Menurut Mohd Najib, sebagai ayah beliau sangat bersyukur dan berbesar hati dengan khidmat yang disediakan JPN.

“Saya tidak boleh bayangkan kalau di bawa ke JPN, memang saya boleh dukung, tetapi kita kena pegang daripada belakang sebab dia tidak boleh berdiri dan duduk dengan betul,” ujarnya.

Menurut Najib, beliau berterima kasih dengan perkhidmatan yang diberikan JPN kerana ia banyak membantu kanak-kanak seperti Aqil.

Beliau yang berkongsi detik gembira tersebut di media sosial turut mendapat reaksi netizen yang teruja dan kagum dengan perkhidmatan JPN.

Perkhidmatan Mobile Ehsan (JPN) diperkenalkan bagi membantu rakyat Malaysia yang mengalami kesusahan untuk membuat urusan permohonan kad pengenalan di pejabat JPN.

Inisiatif ini adalah satu usaha prihatin dan komited JPN dalam memastikan golongan yang tidak berupaya mendapatkan dokumen pengenalan diri dapat berurusan tanpa perlu hadir ke JPN. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here