Dua lagi ADUN Melaka akan tarik sokongan

0
282

DATUK Idris Haron, mendakwa dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyatakan hilang kepercayaan dengan kepemimpinan kerajaan negeri sedia ada dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang ini menegaskan, dua Adun itu akan menyertai senarai empat Adun yang sudah berbuat demikian, semalam.

Semalam, Idris bersama tiga lagi ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Pendirian itu sekaligus menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan kerajaan Melaka hilang majoriti, selepas hanya mempunyai 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tanpa mendedahkan nama ADUN berkenaan,Idris berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita mencadangkan dua wakil iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari dan saya sebagai wakil empat ADUN yang menarik sokongan ini untuk bertemu Tun.

“Pertemuan ini bagi menyampaikan hasrat dan pandangan bagaimana untuk meneruskan kesinambungan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Pada masa sama, akan ada dua lagi ADUN bersama kita dan ini masih di peringkat perbincangan,” katanya dalam sidang media di Banda Hilir, Melaka, hari ini.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, tindakannya bersama tiga ADUN yang menyatakan hilang kepercayaan dan mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan sebagai langkah harmoni.

“Saya melihat ini contoh terbaik kepada idea ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami tidak rela kepincangan yang dilakukan kerajaan negeri selama ini berterusan kerana mangsanya ialah rakyat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here