[VIDEO] UMNO tumbangkan UMNO di Melaka

MARAH UMNO kepada krisis yang berlaku di Melaka dapat dilihat apabila Pengerusi Badan Perhubungan parti itu di negeri itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sanggup melabelkan salah seorang daripada empat ahli politik berkenaan yang merupakan ahli UMNO sebagai penderhaka.

Rauf yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kesal dengan sikap pemimpin terbabit yang didakwa membelakangkan perjuangan parti.

“Saya cerita tentang prinsip perjuangan seorang tokoh yang dilahirkan daripada perjuangan UMNO, akhirnya menderhaka kepada UMNO dan menderhaka kepada bangsanya sendiri.

“Dan kita akan tolak pemimpin ini, kita pertahankan bumi ini,” tegasnya dalam sidang media bersama Sulaiman di Melaka, hari ini.

Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Rauf tidak sepatutnya berasa terlalu marah kepada ahli-ahli UMNO berkenaan jika amalan sama yang diamalkan pemimpin UMNO di peringkat pusat di ambil kira.

Rauf mungkin lupa tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama 14 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Mungkinkah ini balasannya? Lebih pedih balasan dan penentangan itu bukan datang daripada parti lain, tetapi ahli parti sendiri. 

Lebih teruk ia datang daripada individu yang satu ketika dahulu pernah memimpin UMNO negeri berkenaan. – SB