7,795 ditahan kes judi nombor ekor

0
347

POLIS melakukan sebanyak 7,374 serbuan ke atas kegiatan judi nombor ekor 4D tanpa lesen di seluruh negara, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata daripada jumlah serbuan itu, seramai 7,795 individu telah ditahan sejak 1 Januari sehingga 31 Ogos lalu.

“Dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2021, serbuan yang dibuat polis ialah 7,374 serbuan (aktiviti judi tanpa lesen) dan mereka yang ditangkap seramai 7,795 orang,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan jumlah serbuan dibuat ke atas aktiviti judi tanpa lesen sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu.

Jonathan turut memaklumkan kementeriannya mengambil langkah serius bagi membendung peningkatan aktiviti judi tanpa lesen.

Katanya, kebanyakan aktiviti yang berlaku sepanjang PKP itu beroperasi di negara luar seperti Singapura, Kemboja dan China memandangkan aktiviti judi termasuk berlesen tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

Sehubungan itu, kata Jonathan, kementeriannya juga akan membuat semua pertimbangan termasuk meminda undang-undang sedia ada bagi membendung aktiviti terbabit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here