Lebih cepat, lebih bagus: Muhyiddin

0
493

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beban kepada sistem kesihatan awam akan berkurangan jika lebih ramai rakyat tampil menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketika ini, seramai 20,418,495 individu atau 87.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah selesai menjalani suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Negara hanya memerlukan kira-kira 2.8 peratus lagi untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa dan selepas itu, kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri.

“Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

“Berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun, Muhyiddin juga mengingatkan supaya orang ramai harus sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus ini telah pun berada di dalam komuniti.

“Transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik.

“Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau terus menasihatkan orang ramai supaya menerima vaksin kerana semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti Covid-19.

“Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang. Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu.

“Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here