MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, rangkaian aktiviti harian sebelum pandemik COVID-19 boleh dilaksanakan menerusi pendekatan berbeza, selari peralihan ke fasa endemik menjelang hujung bulan ini.
Ini kerana, katanya kesihatan tubuh badan bukan sekadar tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya turut merangkumi mental dan rohani.
Sehubungan itu, penerapan gaya hidup sihat dengan melakukan rangkaian aktiviti seperti sebelum pandemik mesti terus diamalkan, meskipun masyarakat terpaksa hidup bersama virus COVID-19 dalam tempoh panjang.
Penganjuran walkaton secara maya ini sangat tepat dan kena pada waktunya, malah memberi gambaran aktiviti yang pernah dilakukan dalam keadaan biasa sebelum pandemik melanda masih boleh dilaksanakan menerusi pendekatan sedikit berbeza.
“Ini juga yang diharapkan kerajaan apabila kita melangkah ke fasa endemik kelak iaitu menerapkan kehidupan seharian dengan norma baharu,” katanya pada ucaptama pelancaran Walkathon Amal 4, secara maya, hari ini.
Memasuki tempoh lebih dua tahun, Khairy berkata, penekanan kementerian dan petugas barisan hadapan untuk membendung serta merangka pelan mitigasi COVID-19 tidak bermakna kes kesihatan lain dipinggirkan.
Menyedari kepentingan itu, katanya, beberapa pendekatan strategik dibuat demi memastikan perkhidmatan kesihatan bagi kes bukan COVID-19 untuk manfaat masyarakat terus beroperasi seperti biasa.
“Justeru, antara langkah kita lakukan ialah memanjangkan waktu operasi klinik pakar dan dewan bedah, mobilisasi pakar kementerian serta sektor swasta, selain usaha penyumberluaran.
“Dalam mendepani tekanan keperluan perkhidmatan yang sangat tinggi, kementerian sangat mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, dalam memainkan beberapa peranan utama.
“Ini merangkumi sudut advokasi dan galakkan kepada masyarakat untuk menerapkan gaya hidup sihat, tanpa mengira anda seorang survivor (bekas penghidap kanser) atau tidak,” katanya. – SB