[VIDEO] Peranan GLC, GLIC perlu dinilai semula demi mantapkan pemulihan ekonomi – Muhyiddin

0
285

PERANAN syarikat-syarikat berkaitan kerajaan – GLC dan GLIC – perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

Ketika menegaskan perkara itu Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

‘’Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara. Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.

‘’Kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

‘’Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan,’’ katanya.

Beliau berkata,  penting dalam usaha untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here