Perabot rumah rasmi perdana menteri dipindah keluar Najib, kata Muhyiddin

0
464

TAN Sri Muhyiddin Yasssin menjelaskan, keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan itu, selain menerima laporan mengatakan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan perabot daripada rumah rasmi perdana menteri berkenaan.

Bekas Perdana Menteri berkata, jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan itu akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

‘’Untuk memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana itu menjadi heboh apabila kos sebanyak RM38.5 juta disalahtafsirkan oleh segelintir ahli politik sebagai pengubahsuaian sedangkan ia sebenarnya ialah bagi kerja-kerja baik pulih.

Mengulas lanjut Muhyiddin memberitahu, ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

‘’Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang. Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan,’’ katanya.

Beliau berkata, oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.

‘’Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi,’’ katanya yang turut menegaskan tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, kata Muhyiddin, beliau juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang.

‘’Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera,’’ katanya.

Berdasarkan laporan yang diterima, kata beliau, Jabatan Perdana Menteri juga mengesyorkan agar perolehan perabot  dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi bekas Perdana Menteri Keenam (Datuk Seri Najib Tun Razak) dipindah keluar.

Muhyiddin percaya Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

‘’Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung perkara ini,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here