Wang simpanan lesap akibat skim pelaburan

0
215

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG peniaga terpaksa berputih mata setelah wang simpanannya sebanyak RM2,980 lesap akibat terperdaya dengan sindiket skim pelaburan yang tidak wujud.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula pada Jumaat lalu apabila mangsa melayari laman sosial Facebook (FB) di rumahnya di Kampung Batu Talam, Raub lalu
terlihat maklumat mengenai syarikat yang menawarkan peluang pelaburan.

Menurut beliau, peniaga berusia 59 tahun itu tertarik setelah syarikat itu dikatakan ada menawarkan skim pelaburan dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam.

Justeru katanya, mangsa terus menghubungi nombor telefon syarikat itu menerusi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan berkenaan.

Selepas itu ujarnya, mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan nama ‘Rosmawati Darmadi’.

Mohd Wazir memberitahu, wanita itu mendakwa bekerja sebagai pegawai pelaburan syarikat tersebut dan mengatakan mangsa berpeluang untuk menerima pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.

Beliau berkata, akibat terlalu teruja apabila wanita itu mengatakan pelabur akan mendapat RM16,000 sekiranya melabur sebanyak RM500 di syarikat itu.

“Mangsa akhirnya bersetuju untuk menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikutan itu kata Mohd Wazir, suspek meminta mangsa menghantar butiran peribadi beserta salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran.

Ujarnya, mangsa kemudian turut memindahkan sejumlah wang ke dalam dua nombor akaun bank diberikan suspek bagi tujuan pemprosesan.

Bagaimanapun katanya, sejak Jumaat lalu hingga Isnin, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek terus meminta mangsa memindahkan wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan berkenaan,” ujar beliau.

Menurut Mohd Wazir, menyedari ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Raub.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here