Sindiket edar dadah Geng Misai tumpas

0
456

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah ‘Geng Misai’ didalangi bapa, ahli keluarga dan kenalan rapat sejak sebulan lalu dengan penangkapan enam ahli geng terbabit dalam beberapa serbuan di Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, geng berkenaan diketuai lelaki berumur 64 tahun yang digelar ‘misai’ dan bekerja sebagai mekanik serta berperanan menjadi tokan sindiket dadah berkenaan.

Katanya, dua anak lelaki dan seorang menantu perempuan lelaki itu, serta dua kenalan rapat mereka berumur antara 21 hingga 64 tahun turut ditahan dalam beberapa serbuan di Pangsapuri Hilir Kota di Bandar Hilir di sini dan Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru di Alor Gajah bermula 7.30 malam pada Sabtu hingga jam 2 pagi Ahad lalu.

“Tangkapan pertama membabitkan empat individu termasuk anak lelaki dan menantu perempuannya di Pangsapuri Hilir Kota sebelum tangkapan seterusnya tokan berkenaan dan seorang lagi anak lelakinya di rumahnya di Kampung Hilir Sungai Baru.

“Hasil tangkapan berkenaan, polis berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 7.5 kilogram bernilai RM223,100 di rumah tokan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Senior Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, pemeriksaan dilakukan di rumah tokan berkenaan menemukan dadah berkenaan yang ditanam di dalam tanah di kawasan rumahnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, dadah berkenaan dibekalkan kepada anak, menantu dan kenalan rapatnya untuk diedarkan di sekitar Melaka khususnya di Kuala Sungai Baru.

“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 juga diambil dengan nilai sitaan sebanyak RM15,000 membabitkan rampasan sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM3,000 dipercayai hasil jualan dadah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, empat lelaki berkenaan termasuk tokan terbabit positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua mereka ditahan direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, seorang pekerja kilang berumur 25 tahun ditahan kerana terbabit dalam lima kes jenayah pecah masuk dan samun stesen minyak, FamilyMart dan kedai perkakasan di daerah Melaka Tengah dalam tempoh 17 Julai hingga 19 September lalu.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kes dadah itu ditahan di tempat kerjanya di kawasan sebuah kilang di Bukit Rambai pada 21 September lalu kira-kira jam 5 petang.

“Modus operandi suspek ialah memecah masuk premis selepas ia ditutup dan suspek turut menutup bahagian mukanya dengan kain serta menggunakan parang, menggunakan kereta jenis Kia Forte, memakai vest dan tali pinggang mempunyai logo polis.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis percaya tujuh kes pecah premis berjaya diselesaikan membabitkan kerugian bernilai RM30,000,” kata Abdul Majib.

Beliau berkata suspek direman hingga 30 Sept dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun sama. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here