Perjelas dakwaan terowong dasar laut diganti jambatan

0
210

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang didesak menjelaskan mengenai status sebenar projek terowong dasar laut yang kini didakwa akan digantikan dengan jambatan yang merentasi Selat Pulau Pinang.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, dakwaan itu menimbulkan persoalan khususnya berkenaan tanah milik penduduk Pulau Pinang yang telah digunakan untuk membayar kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut sebelum ini.

Ujar beliau, sekiranya benar terowong dasar laut itu akan digantikan dengan jambatan, maka bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil semula tanah yang telah diberikan kepada konsortium sebagai pembayaran kajian kebolehlaksanaan projek tersebut yang kini telah dimajukan dan dibina kondominium mewah.

“Selepas hampir 10 tahun berlalu, mengapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru memberitahu penduduk Pulau Pinang yang mana pembinaan jambatan lebih sesuai daripada membina terowong dasar laut?

“Sedangkan kerajaan negeri telahpun membelanjakan RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam masa sama ujar Toh Keong, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menjelaskan mengapa konsortium yang bertanggungjawab dalam projek terowong dasar laut itu mencadangkan kepada untuk mengantikannya dengan jambatan sepanjang lima kilometer.

Malah katanya, difahamkan kos untuk membina jambatan merentasi Selat Pulau Pinang itu adalah RM3 bilion iaitu hanya separuh daripada kos RM6.3 bilion untuk membina terowong dasar laut.

“Dengan perkembangan terkini isu projek terowong itu, ramai berpendapat projek terbabit sebenarnya tidak wujud dan kerajaan negeri perlu menjawab perkara ini terutama mengenai persoalan bagaimana wang yang telah dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan dapat dituntut semula bagi pihak rakyat Pulau Pinang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here