Jangan mendahului mahkamah – Ahmad Marzuk

0
240

ORANG ramai dinasihatkan tidak mendahului mahkamah dalam menghakimi kes membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata orang ramai harus berpegang kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan membiarkan proses mahkamah berjalan bagi menentukan keputusan itu.

“Orang yang didakwa akan mengemukakan bukti dan ini bermakna proses mahkamah perlu berjalan sebelum dibuktikan seseorang itu benar-benar bersalah atau sebaliknya.

“Nasihat saya kepada penyokong atau penentang mana-mana pihak yang berkaitan supaya berhati-hati dan tidak mendahului undang-undang kerana seseorang itu belum dibuktikan bersalah.

“Hormatilah proses undang-undang dan yang paling penting agama mengajar kita tidak semberono menyebarkan aib seseorang itu sementelah dia belum dipastikan benar oleh pihak mahkamah yang akan memutuskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk juga menggesa supaya warganet menghentikan ‘peperangan’ di media sosial berhubung perkara itu dan berhenti menyebarkan aib seseorang kerana bimbang akan jatuh kepada fitnah.

Katanya lagi, perkara itu tidak perlu dipanjangkan sebaliknya hanya perlu menunggu siasatan dan pendakwaan oleh pihak mahkamah.

Berkaitan kes usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan bersedia meneruskan prosiding undang-undang terhadap individu itu sekiranya kembali ke negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here