Nelayan tercampak dari bot ditemui lemas

0
270

NELAYA yang hilang setelah tercampak keluar apabila bot dinaiki dihempas ombak kuat di muara Kuala Dungun, Terengganu semalam, ditemukan lemas kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang, petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata mayat Mohd Noor Mamat, 67, ditemukan terapung dalam keadaan tertiarap oleh pasukan penyelamat pada jam 3.40 petang.

“Mayat mangsa tiba di Jeti Marang pada pukul 4 petang, sebelum dibawa ke HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu) untuk tindakan lanjut,” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Azman berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan sejak semalam disertai 54 anggota penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam, selain nelayan tempatan.

Dalam kejadian pada jam 1.59 tengah hari semalam itu, Mohd Noor bersama tekong bot Mahathir Ibrahim, 56, dan seorang lagi nelayan Mohd Ibrahim, 63, dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan, sebelum bot mereka dihempas ombak kuat.

Kejadian tersebut menyebabkan Mohd Noor dan Mohd yang ketika itu duduk di atas tong ikan tercampak keluar dari bot.

Mahathir ketika ditemui pemberita berkata beliau serta-merta bertindak mencampak dua pelampung kepada Mohd Noor dan Mohd bagi menyelamatkan mereka.

“Mohd sempat capai pelampung dan berpaut pada bot sebelum saya tarik dia naik ke atas (bot). Masa itu saya nampak Mohd Noor masih ada dan saya terpaksa ikut jalan jauh untuk selamatkan dia kerana ombak sangat kuat.

“Namun, kira-kira tujuh atau lapan minit selepas itu saya tengok dia hilang tetapi pelampung masih ada. Mungkin dia tidak sempat capai pelampung,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here