SERAMAI 1,000 jemaah dibenarkan bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam, manakala 500 jemaah bagi masjid lain seluruh Selangor dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
Dalam satu surat edaran dalaman yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), memaklumkan ketetapan baharu itu berkuatkuasa hari ini, sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kelak.
Ketetapan itu juga mengambil kira penurunan kes semasa yang terus konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.
Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi pula, masing-masing 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.
Masjid pengurusan ditetapkan ramai 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.
“Masjid kariah pula 350 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.
“Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.
“Surau kariah dan musolla pula masing-masing 100 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu,” menurut edaran itu.
Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin COVID-19 sertamelepasi tempoh inkubasi ditetapkan.
Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.
“Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan,” menurut edaran itu.
Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.
Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.