Kelindan lemas lori terbabas dalam parit

0
209

SEORANG kelindan maut akibat lemas, manakala rakannya yang juga pemandu lori terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Harmoni 1, Ijok, Kuala Selangor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu mangsa yang maut, Kamarul Najmi Abdullah, 24, dari Taman Sri Putra, Banting.

Katanya, pemandu lori jenis Nissan UD membawa muatan ayam itu, Saihol Ihsan Rapsidi, 36, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

“Polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang ramai jam 9.40 malam dan siasatan awal mendapati, lori berkenaan dalam perjalanan dari tempat penternakan ayam di Ijok ke sebuah kilang pemprosesan ayam di Puchong.

“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan berat itu terbabas, sebelum terjunam ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

“Pemandu lori sempat menyelamatkan diri, manakala kelindan pula dipercayai tersepit dan lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengeluarkan mayat mangsa kira-kira jam 11.45 malam.

“Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here