Kejayaan sebulan lebih awal – Muhyiddin

Vaksinasi mencecah 80 peratus populasi dewasa di Malaysia

0
1094

Alhamdulillah seperti yang dirancang oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kita berjaya mencapai sasaran 80 peratus dewasa lengkap divaksinasi hari ini. Ini bermakna, lebih 40 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia.

Saya merasa teruja dan bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kejayaan ini dicapai sebulan lebih awal dari yang telah kita jadualkan.

Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya tim Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) diketuai YB Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Tahniah juga kepada seluruh petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan agenda utama kerajaan dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Seperti yang sering saya ingatkan, strategi Kerajaan sewaktu saya menjadi Perdana Menteri dahulu adalah jelas iaitu mahu seramai mungkin rakyat menerima vaksinasi lengkap. Lebih ramai divaksin, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan COVID-19, lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok. Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi.

Tumpuan kini patut diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih di bawah 60 peratus.

Semalam, Pasukan Bertindak Immunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) telah ditubuhkan untuk memastikan anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima vaksin. Setakat ini lebih 85,000 remaja telah menerima vaksinasi lengkap, dan disasarkan 80 peratus remaja akan menerima vaksinasi lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.

Semoga anak-anak kita dilindungi dan dapat kembali ke sekolah secara fizikal dengan selamat.

Kejayaan kita mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landasan yang betul. Ini juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang merupakan antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.

Hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa juga memberi manfaat apabila kita menerima sumbangan vaksin melebihi 5 juta dos dari negara Jepun, Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Saya menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri semalam, bahawa suntikan penggalak (booster) akan diberikan seawal Oktober, terutamanya untuk frontliners yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus ini.

Saya juga mengalu-alukan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) diumumkan YAB Perdana Menteri untuk golongan B40. Pembelian alat pulse oxymeter untuk menyukat kadar oksigen pesakit telah diluluskan oleh Kerajaan dalam Sidang Khas COVID-19 Majlis Keselamatan Negara sebelum ini. Pemberian PPC yang berjumlah RM471.6 juta ini menunjukkan kesinambungan Kerajaan Prihatin yang peka kepada keperluan rakyat terutamanya golongan rentan. Saya berharap pakej bantuan ini dapat disegerakan dan sampai kepada golongan sasar mengikut perancangan demi kemaslahatan rakyat.

Marilah kita terus berusaha dan berikhtiar memulihkan Malaysia kembali kepada kehidupan pasca pandemik dalam norma baharu.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here