[VIDEO] Bersatu Johor tolak Ahmad Maslan calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

0
388

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menolak pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, keputusan itu dibuat kerana mempertahankan pendirian parti yang tidak mendukung pemimpin yang integritinya diragui.

Sehubungan itu, beliau meminta UMNO memilih semula seorang calon yang tidak mempunyai kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integritinya.

“Dalam konteks calon Timbalan Speaker, saya bersependapat dengan Bersatu Pusat bahawa kita tidak bersetuju mengambil mereka yang masih terlibat dalam perbicaraan kes-kes mahkamah menjadi calon kepada Menteri, Timbalan Menteri ataupun Timbalan Speaker.

“Bersatu Johor kita bersama dengan pihak Pusat dalam perkara ini. Ia sejajar dengan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BERSATU mesti mencari pemimpin yang berintegriti, amanah dan bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, UMNO mengesahkan Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Justeru, semua Ahli Parlimen Bersatu serta empat Ahli Parlimen Bebas yang berpihak kepada parti itu bersetuju untuk berkecuali semasa undian berkenaan.

Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO itu kini berdepan kes mahkamah membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here