Alat berkhatan cepat, selamat, murah menang pingat emas di peringkat antarabangsa

0
311

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pakar bedah plastik, Datuk Dr. Siow Kuang Ling mengharumkan nama negara apabila alat berkhatan ciptaannya yang cepat, selamat dan rendah kos mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Menurut Kuang Ling, 78, alat berkhatan tersebut merangkul merangkul pingat emas dan anugerah khas di 6th Annual International Invention Competition in Canada (iCAN) 2021 di Toronto, Canada pada 28 Ogos lalu.

Katanya, alat itu yang dinamakan Circumstar-1 boleh melakukan proses khatan dalam masa seminit dan diiktiraf paling cepat di dunia.

Kuang Ling tidak menyangka memenangi pingat emas bagi produk itu dan dipilih sebagai antara 10 ciptaan terbaik dalam kalangan 700 penyertaan dari seluruh negara termasuk 97 dari negara ini.

Rekaan dan inovasi Kuang Ling menerima pengiktirafan sebagai peralatan berkhatan paling cepat, selamat dan kos rendah di seluruh dunia

“Pertandingan ini adalah anjuran Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS) dan saya menghantar penyertaan secara ‘online’.

“Saya mengambil masa kira-kira sembilan tahun untuk menyiapkannya dan menambah baik peralatan berkhatan sedia ada sebelum ini dan ini adalah produk buatan tempatan 100 peratus.

“Alat ini ini hanya mengambil masa seminit berbanding peralatan berkhatan saya cipta sebelum ini iaitu tiga minit dan ia tanpa jahitan.

Alat berkhatan ciptaannya diklasifisasikan sebagai cepat, selamat dan rendah kos

“Ia adalah selamat sepenuhnya dan proses penyembuhannya juga agak cepat iaitu dalam tempoh tiga minggu berbanding kebiasaannya sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, pada Mac lalu, beliau meraih pingat emas di Salon International des Inventions de Genève 2021 di Switzerland bagi ciptaan sama.

Sehingga kini beliau berjaya merangkul 49 anugerah bagi inovasinya termasuk 25 pingat emas dan 11 pingat khas bagi produk pengguna dan peralatan perubatan di pertandingan termasuk diadakan di peringkat nasional selain di China, Hong Kong, Japan dan Thailand.

Anak kelahiran Johor itu berkata, inisiatifnya juga diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berusaha mencipta produk inovasi yang berguna kepada masyarakat.

Pertandingan anjuran Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS) membawa tuah kepada Kuang Ling

“Saya yakin faktor usia tidak menjadi penghalang kepada untuk terus mencipta produk dan saya nekad meneruskan usaha ini.

“Ada yang menasihati saya supaya berehat di rumah kerana faktor usia namun saya berasakan usia bukan halangan untuk bergerak aktif dan mencipta kejayaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here