[VIDEO] Kejayaan Langkawi tanda aras pembukaan destinasi pelancongan lain – Muhyiddin

0
326

KEJAYAAN pembukaan gelembung pelancongan pulau Langkawi diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan negara dengan selamat dan teratur.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat.

“Saya berharap semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik ini terutamanya peniaga kecil dan sederhana, dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan ini.

“Ingin saya tegaskan, walaupun kita telah lengkap divaksin dan diberikan beberapa kelonggaran, saya berharap kita semua dapat terus patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di Langkawi hari ini bagi memantau dan melihat sendiri persediaan pembukaan sektor pelancongan domestik di pulau berkenaan seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara.

Pulau Langkawi merupakan destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh MPN sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Pada lawatan itu Muhyiddin diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abd Mutalib dan menyertai majlis dialog bersama wakil-wakil pengusaha hotel, homestay, kereta sewa dan pemandu teksi.

Hadir bersama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Pada majlis dialog tersebut, Muhyiddin telah menerima beberapa memorandum daripada wakil-wakil pengusaha industri pelancongan.

“Insya-Allah saya akan membawa pandangan dan cadangan mereka ke Majlis Pemulihan Negara dan juga ke perhatian YAB Perdana Menteri,” katanya.

Muhyiddin berkata, majoriti pengusaha hotel dan homestay merayu kepada Kerajaan untuk memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 termasuk di Pulau Langkawi.

“Di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah saya umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.

“Antaranya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

“Sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa,” katanya. – SB


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here