[VIDEO] Anjing liar? Jangan bimbang ikuti panduan ini

0
2776

RAMAI dalam kalangan kita yang mempunyai pengalaman buruk bila berhadapan sekawan anjing liar apatah lagi apabila haiwan itu, menyalak dengan kuat seakan tidak senang dengan kehadiran individu yang tidak dikenali.

Perasaan takut dan gemuruh tentunya boleh menyerang tiba-tiba, tambahan lagi jika kita berada bersendirian, sudah tentu apa yang dapat difikirkan ketika itu adalah untuk berlari menyelamatkan diri.

Namun, semua itu boleh dihindarkan jika anda mengikuti panduan yang dikongsikan Doktor Veterinar, Dr. Salehatul Khuzaimah kepada SatuBerita.My. 

Beliau yang lebih mesra dipanggil Dr. Ima memberitahu, secara asasnya bila bertemu dengan anjing liar mahupun binatang liar, perkara pertama yang harus dilakukan adalah bertenang.

“Jika kita terjumpa anjing liar, kalau kita boleh elakkan lalu kawasan itu, kita cuba elak.

“Yang kedua, bertenang, jangan takut, jangan gelabah, jangan buat ‘eye-contact’, jangan buat pergerakan yang mengancam, yang boleh kita buat atau nampak macam kita nak cederakan dia, hanya bertenang, sebab selalunya anjing tidak akan serang benda yang tak membuatkan mereka rasa terancam,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.

Katanya lagi, jika kita panik ketika berhadapan dengan anjing liar itu, kemungkinan besar kita akan buat satu tindakan tanpa sedar yang akan membahayakan diri sendiri seperti lari daripada anjing tersebut.

“Jadi bila kita cuba lari itulah yang akan membuatkan anjing itu kejar, anjing itu boleh ‘sense’ kita punya ketakutan, bila kita takut, lagi dia akan ada rasa untuk serang atau kejar, sama ada kita tidak hiraukan dia ataupun biarkan dia tahu kita lagi kuat daripada dia.

“Lebih kuat itu bukan maksudnya untuk kita cederakan dia, supaya kita dapat tunjukkan dia tidak boleh buat apa-apa kepada kita,” jelasnya. 

Bagaimanapun, jika kita masih panik dan tidak boleh bertenang, Dr. Ima menasihatkan supaya kita gunakan objek yang terdekat dengan  menggunakan objek itu untuk menghalau anjing liar tersebut.

“Andai kata ia tak menjadi, kalau kita buat tenang tetapi anjing itu masih mahu serang, kalau boleh lari lagi laju daripada anjing, boleh cuba, tetapi tidak dinasihatkan. 

“Jika ada sesuatu benda di badan, seperti botol air, payung, boleh gunakan untuk takutkan dia, untuk halau dia, tetapi bukan untuk pukul dia,” katanya.

Sebelum ini, banyak kisah penghantar makanan yang dikejar anjing walaupun semasa menunggang motosikal, namun begitu, Dr. Ima menasihatkan supaya jangan bawa motosikal dengan laju apabila dikejar anjing liar, kerana ia akan membahayakan nyawa diri dan orang lain.

“Jika dikejar anjing semasa naik motor, kena faham anjing bersifat ‘territorial’, jadi jika kita masuk kawasan dia, memang ada potensi untuk dia kejar, tetapi bila masuk satu kawasan yang bukan kawasan dia, dia akan berhenti di situ.

“Kalau boleh, turun daripada motor dan jadikan motor itu penghalang antara anjing itu dengan kita, jadikan motor seperti dinding,” demikian nasihat Dr. Ima.

Klinik Haiwan Dr. Ima terletak di Kota Kemuning, Shah Alam dan Bandar Sri Damansara iaitu Serv-U Veterinary Clinic & Surgery dan Trio Veterinary Clinic & Surgery. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here