Sungai bau busuk, penduduk sesak nafas dan dipindahkan

0
254

DUA wanita sesak nafas, manakala segelintir besar penduduk di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Johor Bahru terpaksa keluar dari kediaman mereka susulan terhidu bau kuat seperti bahan kimia, malam tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit Hazmat Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia Negeri Johor, Saiful Bahri Safar berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.22 malam dan pasukan pertama tiba di kampung berkenaan 15 minit kemudian.

“Dua mangsa yang berusia 20-an dan 40-an telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail kerana sesak nafas oleh unit EMRS.

“Anggota hazmat pula telah membuat ‘detection’, ‘isolation’ dan ‘damping’ di sungai dan didapati terdapat tumpahan cecair pepejal yang berada di kawasan anak sungai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Hasil ujian peringkat awal, pihaknya mengesyaki tumpahan itu adalah methyl alcohol, sejenis bahan buangan berjadual, dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta).

“Jadi tindakan daripada kita, lima buah rumah kita minta kosongkan…yang berada jarak 150 meter (dari sungai) dan mereka semua dipindahkan ke balai raya.

“Buat masa ini, kita cuba mengawal kawasan ini dan terus mengesan dengan cara menyusuri anak sungai untuk mencari punca tumpahan ini bermula,” kata beliau.

Seramai 24 anggota dan pegawai dengan lima jentera daripada Balai Bomba Kempas, Balai Bomba Larkin dan Balai Bomba Johor Jaya, dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setakat 2.30 pagi tadi, usaha pengesanan tumpahan masih diteruskan dan pihaknya juga turut memohon bantuan pihak Jabatan Alam Sekitar dan Unit Hazmat Melaka.

Tinjauan Bernama juga mendapati bau seolah-olah petrol masih dapat dihidu sejauh kira-kira 300 meter dari anak sungai berkenaan. BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here