Pengunjung tidak jaga SOP, Empangan Mengkuang ditutup

0
377

GARA-gara tindakan pengunjung yang gagal menjaga prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), Empangan Mengkuang menjadi tumpuan warga Seberang Perai beriadah diarah tutup selama tujuh hari.

Arahan tersebut dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah selepas pemeriksaan hari ini.

Susulan itu, empangan berkenaan ditutup sementara bermula hari ini dan dijangka dibuka semula kepada orang awam pada Khamis depan.

Notis Perintah Tutup yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata pihaknya akur dengan arahan penutupan itu yang dilakukan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Penutupan sementara itu dibuat bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Pulau Pinang dan PBAPP patuh dengan arahan ini demi keselamatan orang awam.

“Anggota polis bantuan kini sudah diarahkan untuk menghalang kemasukan orang ramai ke empangan terbabit sepanjang tempoh penutupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang awam yang mengunjungi semua pusat rekreasi di bawah PBAPP diminta mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain Empangan Mengkuang, SOP sama juga membabitkan Empangan Air Hitam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar.

“Mereka yang mengunjungi semua lokasi ini perlu mematuhi arahan antaranya lengkap vaksinasi dan bagi individu berusia 17 tahun ke bawah perlu masuk bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah divaksinasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here