Empat lelaki ditahan buang sisa industri

0
287

Oleh RAHIMI MOHAMAD

EMPAT suspek lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembuangan sisa industri berjadual yang menyebabkan kira-kira 102 penduduk diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing di Kampung Baru Sri Aman, Kempas malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat warga tempatan itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah kilang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung berkenaan.

“Tangkapan ke atas suspek dibuat susulan pemeriksaan yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di premis berkenaan. JAS Johor telah menahan keempat-empat individu itu termasuk seorang pemilik premis selepas mereka disyaki terlibat dalam insiden pembuangan sisa terbabit.

“Polis Johor akan memberikan kerjasama kepada pihak JAS dalam menjalankan siasatan susulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut serta, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusof.

Pada masa sama, Ayob Khan berkata, kemungkinan terdapat beberapa lokasi lain yang perlu diperiksa dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baru bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, kata beliau, empat penduduk wanita berusia 22 hingga 49 tahun yang dilaporkan sesak nafas masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), namun berada dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, Yahaya mengesahkan punca pencemaran udara di kampung terbabit disebabkan buangan sisa industri jenis Methyl Alcohol termasuk Metanol yang kelihatan seperti minyak berwarna hitam.

Katanya, bahan itu dikesan hasil pemeriksaan menggunakan peralatan khas Gasmet yang dilakukan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

Tambahnya, pemeriksaan yang dibuat anggota bomba di lokasi sepanjang satu kilometer juga mendapati terdapat kesan tompokan sisa buangan industri itu yang terlekat di kawasan tebing rumput di situ.

“Bomba mendapati dua sisa buangan kimia jenis Methyl Alcohol dan Metanol mengalir di tali air Sungai Tawakal menuju Sungai Pandan, tetapi kita bertindak pantas dengan membuat pengepungan menggunakan ‘oil boom’ bagi menyekat sisa buangan itu daripada terus mengalir.

“Disebabkan hujan lebat malam tadi, bahan itu disyaki sudah melebihi jarak satu kilometer. Bagaimanapun, ia terurai secara semula jadi dan tidak ada hidupan yang terkesan akibat sisa buangan itu,” katanya.

Katanya, hasil pemantauan terkini di lokasi kejadian juga mendapati keadaan semakin terkawal selepas bau busuk pencemaran kimia berkenaan hilang setelah 12 jam kekal di udara kawasan kampung berkenaan.

“Penduduk dijangka boleh dibenarkan pulang ke rumah mereka pada petang ini. Pemantauan berterusan akan dilakukan melibatkan 40 anggota bomba yang ditugaskan di sini,” katanya.

Ujarnya, kesemua yang dipindahkan ke balai raya akan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here