10 didakwa kes palsukan sijil vaksin Covid-19

0
477

SERAMAI 10 individu sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memalsukan sijil vaksinasi, setakat ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said memaklumkan daripada jumlah itu, seorang individu didapati bersalah atas pertuduhan berkenaan.

“Berdasarkan pecahan mengikut negeri, seorang individu terbabit di Kelantan, Melaka (dua), Sarawak (empat), Perak (satu) dan Sabah (dua).

“Seorang individu yang didapati bersalah adalah di Sarawak, di mana mahkamah sudah memberikan sabitan dengan hukuman penjara,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai jumlah individu dikenakan tindakan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin. –

“Seorang telah disabitkan kesalahan iaitu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara,” katanya.

Ismail berkata bagi golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ismail berkata berhubung kesalahan memberi maklumat palsu, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu di bawah Akta 342 atau Kanun Keseksaan.

Beliau berkata di bawah Seksyen 24 Akta 342, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala di bawah Seksyen 25 Akta 342, sebelum pertuduhan dimulakan dengan izin pendakwa raya, kompaun boleh diberikan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta ini untuk individu tidak melebihi RM10,000 manakala perbadanan tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam memastikan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), diambil tindakan tegas bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Ismail berkata KDN mengambil pendekatan mengimbangi aspek kesihatan serta keselamatan dan kedaulatan negara dalam isu vaksinasi pendatang tanpa izin.

Beliau menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai sama ada kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada pendatang izin untuk mendapat vaksinasi berbanding menahan mereka bagi dihantar pulang ke negara asal.

“KDN telah berhubung dengan negara-negara sumber untuk membuat program penghantaran pulang dan mereka boleh buat proses kembali ke negara ini, kita tidak mengambil tindakan yang begitu kejam (terhadap pendatang tanpa izin),” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here