Tiga pasangan kekasih ditahan anjur parti liar

0
367

POLIS menahan tiga pasangan kekasih, termasuk lima individu didapati positif dadah, yang menyewa sebuah inap desa mewah tiga tingkat disyaki untuk tujuan ‘parti persendirian’ di Taman Kota Shahbandar, semalam.

Kesemua mereka berusia antara 21 hingga 26 tahun itu ditahan pasukan daripada Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 12 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata suspek dipercayai menginap di premis terbabit sejak Sabtu lalu pada kadar bayaran RM400 sehari.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, ada enam individu dalam premis terbabit dan disyaki berlaku kegiatan parti persendirian di situ.

“Malah, ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada mereka, iaitu tiga wanita dan dua lelaki, positif dadah jenis methamphetamine,” katanya, memetik laporan BH.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa peralatan disyaki untuk kegunaan penganjuran parti, termasuk set karaoke.

“Mereka kemudian dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001.

“Kesemua mereka turut dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya.

Raiz Mukhliz berkata, lima individu yang didapati positif dadah juga dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, bagi mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here