Teruskan usaha turunkan kes Covid-19: Agong

0
231

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat supaya jangan cepat leka dan berpuas hati dengan pencapaian program vaksinasi negara ketika ini.

Baginda bertitah, usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 terutamanya dengan kemunculan varian baru.

“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

“Menyedari hakikat itu, strategi ‘whole of society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.

“Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa ‘Agenda Nasional Malaysia Sihat’ dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini,” titahnya pada pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Sebagai rekod, sehingga semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merekodkan 73.4% atau 17,177,911 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin.

Setakat ini, sebanyak 38,488,051 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

Yang di-Pertuan Agong juga amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik itu serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2.

“Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia, pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi pendekatan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu Seri Paduka menyeru seluruh rakyat perlu sedar akan bahayanya virus COVID-19 khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.

Titah Baginda, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard, pada setiap masa.

“Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga meminta kerajaan memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing, agar penularan varian baharu dapat dikawal.

Pada masa yang sama Seri Paduka bertitah kawalan sempadan negara perlu diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Seterusnya ketua negara itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, China dan Emiriah Arab Bersatu, di atas sumbangan vaksin COVID-19 kepada negara ini.

“Beta menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa, ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima daripada negara-negara lain,” titah Seri Paduka. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here