Covid-19: Indonesia sedia masuk fasa endemik

0
257

Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

INDONESIA sedia untuk fasa perubahan Covid-19 daripada pandemik ke endemik selepas berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak itu.

Menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo, pandemik tersebut tidak akan hilang begitu saja dalam tempoh terdekat.

“Kita perlu bersedia untuk fasa perubahan ini dan belajar hidup bersama Covid-19,” katanya ketika melawat program vaksinasi Covid-19 di sebuah sekolah orang kurang upaya di Yogyakarta.

Antara hujung Jun hingga awal Ogos, Indonesia berdepan lonjakan kes Covid-19 akibat penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.

Pasukan Petugas C-19 negara itu merekodkan kes harian terbesar pada 15 Julai lalu dengan 56,757 jangkitan dan angka kematian tertinggi 2,068 mangsa pada 27 Julai.

Bagaimanapun, trend penurunan kes harian dan jumlah kematian mula dilihat sejak pertengahan bulan lalu, yang kini merekodkan kes harian 3,779 jangkitan dan 188 kematian setakat Ahad.

Kerajaan Indonesia juga sudah mula melonggarkan sekatan pergerakan awam yang dikenali sebagai PPKM, manakala kegiatan ekonomi seperti pusat beli-belah dan pejabat kembali beroperasi dengan kapasiti serta tempoh operasi terhad.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, semua orang boleh kembali melaksanakan pelbagai kegiatan secara berfasa seperti dalam PPKM ketika perubahan daripada pandemik ke endemik.

“Semua orang perlu berdisiplin dengan mematuhi protokol kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here