Agong zahir penghargaan kepada Muhyiddin pimpin negara ketika detik sukar

0
324

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan barisan Kabinetnya sepanjang memimpin negara berdepan cabaran getir krisis kesihatan Covid-19.

Baginda menegaskan sudah melaksanakan tanggungjawabnya berlandaskan Perlembagaan dan prinsip demokrasi berparlimen dalam membuat pemilihan perdana menteri baharu selepas peletakan jawatan Muhyiddin.

“Pada kesempatan ini beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang ke lapan dan barisan ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara, mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.

“Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh. Amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke sembilan telah beta laksanakan dengan berpandu Perlembagaan Persekutuan selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” kata Baginda.

Baginda bertitah ketika pembukaan persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14, hari ini,

Jelas Tuanku, selepas proses pemilihan perdana menteri baharu berjalan, Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima majoriti tertinggi untuk dilantik ke jawatan nombor satu negara.

“Menerusi surat-surat akuan tersebut beta mendapati seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yakob, Ahli Parlimen Bera.

“Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan, jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here