Kerajaan PN tidak gagal tangani Covid-19: Muhyiddin

0
324

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kerajaan PN telah memberi fokus kepada usaha memulihkan negara daripada wabak itu hingga kesannya dapat dilihat ketika ini.

Katanya, selain melaksanakan kawalan pergerakan, strategi kerajaan yang paling utama ialah meningkatkan dan mempercepatkan program vaksinasi.

“Hari ini kita telah melihat hasilnya. Lembah Klang yang dahulunya menjadi pusat penularan wabak Covid-19 telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila 97.8 peratus penduduk dewasa di Lembah Klang telah menerima suntikan dos lengkap vaksin.

“Wad-wad ICU (unit rawatan rapi) yang dahulunya sesak dengan pesakit Covid-19, kini telah mencatatkan penurunan jumlah pesakit.

“Tetapi masih ada pihak yang kata kita gagal. Kita sebenarnya tidak gagal. Mereka yang nak lihat kita gagal. Kerana itu, semasa kita sibuk mengurus Covid-19, mengurus kebajikan rakyat, mereka sibuk berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu yang diadakan secara maya pada malam tadi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau juga menyedari ramai rakyat yang tidak suka dengan perbuatan kelompok yang cuba menjatuhkan kerajaan itu.

“Apatah lagi ahli-ahli Bersatu yang mahu saya terus kekal memimpin kerajaan PN. Tetapi saya mesti patuh kepada perlembagaan Persekutuan. Apabila saya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, saya mesti meletak jawatan dan itulah yang saya lakukan,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here