Dibenarkan masuk ke Sabah tanpa kuarantin jika cukup syarat

0
388

KERAJAAN negeri Sabah melonggarkan sekatan terhadap individu lengkap vaksinasi Covid-19 memasuki negeri ini, untuk urusan rasmi tanpa perlu menjalani ujian saringan, termasuk kuarantin.

Kebenaran itu dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua yang dikemas kini semalam hanya untuk individu berada di negeri itu dalam tempoh tiga hari.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata bagi urusan rasmi melebihi tiga hari yang membabitkan individu lengkap vaksin, kelonggaran sama turut diberikan, namun diarah membuat pemantauan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Memetik laporan Berita Harian, katanya, kemasukan ke Sabah hanya perlu mendapatkan kebenaran polis dan disahkan negatif Covid-19, melalui saringan RT-PCR tiga hari sebelum perjalanan.

“Bagi individu belum lengkap vaksin yang masuk ke Sabah atas urusan rasmi dalam tempoh tiga hari, mereka wajib menjalani kuarantin selama 10 hari dan ujian RTK – Antigen pada hari kelapan,” katanya.

Bagi bukan urusan rasmi, Masidi menegaskan kemasukan ke Sabah hanya dibenarkan atas kebenaran polis, negatif ujian RT-PCR tiga hari sebelum bertolak, tidak bergejala dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata individu yang keluar dari Sabah ke Sarawak dan Labuan atas urusan tertentu, juga perlu menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum bertolak, selain tertakluk kepada syarat ditetapkan pihak berkuasa di negeri terbabit.

Bagaimanapun, larangan pergerakan individu keluar masuk di antara Labuan dan tanah besar Sabah melalui jalan laut yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini, masih dikekalkan.

“Pergerakan individu di antara Labuan dan Sabah melalui feri penumpang, bot penumpang, feri kenderaan atau bot persendirian tidak dibenarkan kecuali untuk urusan kecemasan dengan kebenaran polis, pihak berkuasa negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” katanya.

Masidi berkata, hanya individu yang keluar dari Sabah ke Semenanjung tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum berlepas seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kerajaan negeri, katanya, turut membenarkan keluar masuk pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur bawah 18 tahun, namun hanya untuk mereka yang lengkap vaksin dan mendapat kebenaran polis, selain tertakluk kepada syarat kemasukan ditetapkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, larangan rentas daerah dan sekatan jalan raya juga masih dikuatkuasakan.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 2,246 kes baharu Covid-19 sebanyak 28 kes kematian iaitu 13 kes di Tawau, diikuti lapan kes di Sandakan, tiga kes di Papar, manakala masing-masing satu kes di Kudat, Kota Marudu, Lahad Datu dan Kota Kinabalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here