17 termasuk lapan remaja ditahan sedang berparti

0
274

SERAMAI 17 orang termasuk lapan remaja ditahan kerana menganjurkan parti persendirian dalam serbuan menerusi Op Noda di dua unit kondominium di Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka, malam tadi.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dalam serbuan pada kira-kira 11 malam itu, kesemua tahanan terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita itu berusia 17 hingga 35 tahun.

Beliau berkata kedua-dua unit kondominum berkenaan diserbu pegawai dan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat Polis Melaka hasil maklumat awam.

“Masing-masing sembilan dan lapan individu ditahan di dalam unit kondominium berlainan ketika sedang berdisko dan minum minuman keras.

“Ketika serbuan dilakukan, parti berkenaan dipercayai baru bermula pada kira-kira 9 malam dan setiap unit kondominum itu disewa pada kadar RM450 semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saringan air kencing ke atas semua individu yang ditahan mendapati seorang daripada mereka iaitu remaja berusia 19 tahun dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Melaka dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan semua individu terlibat yang tinggal di Melaka dilepaskan dengan jaminan polis.

Semua individu terlibat juga dikompaun sebanyak RM51,000 kerana melanggar prosedur operasi standard COVID-19 di bawah Peraturan 16 PU(A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

Mohd Sukri menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau sebarang aktiviti ‘private party‘ dan tidak bermoral yang diadakan secara haram di negeri itu dan tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang terlibat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here